KOTA KINABALU: Kementeriam Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar akan memohon peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Kerajaan Persekutuan untuk memulikan alam sekitar di kawasan bekas lombong Mamut Ranau dan persekitarannya.
Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Pang Yuk Ming berkata peruntukan itu akan dipohon dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
“Kementerian saya melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan terus melaksanakan pemantauan terhadap kualiti air di dalam dan luar kawasan lombong tersebut.
“Usaha pemulihan bekas lombong tembaga di Mamut memerlukan usaha berterusan serta kerjasama semua jabatan berkaitan terutamanya Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Tanah dan Ukur, JMG dan jabatan- jabatan teknikal lain yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong Chan Foong Hin pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.
Adun Sri Tanjong bertanya bagaimana kerajaan negeri memulihkan pencemaran air dan alam sekitar lombong tersebut.
Pang berkata, kawasan bekas lombong tembaga Mamut telah mengalami degradasi alam sekitar khususnya pencemaran air.
“Hasil kajian oleh pakar- pakar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta pemantauan berterusan oleh pihak Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan JMG mendapat air di dalam kawasan “mine pit” adalah berasid.
“Didapati, acid mine drainage (AMD) berkenaan akan melimpah ke sistem aliran sungai berdekatan apabila berlakunya hujan namun ia akan mengalami pencairan dan nilai pH menjadi neutral dan tidak lagi membahayakan kepada persekitaran,” katanya.
Pang berkata walaupun pencemaran AMD terkawal dan tertumpu di kawasan “mine pit” namun kerajaan tetap melaksanakan tindakan proaktif untuk memastikan pencemaran air di kawasan berkenaan sentiasa terkawal.
“Oleh itu di bawah RMK-9 (2006 -2010) kerajaan negeri melalui JMG Sabah telah menjalankan satu kajian khas untuk mengenalpasti kaedah pemulihan bekas Lombong Tembaga Mamut serta kos yang terlibat.
“Kajian tersebut dibiayai oleh kerajaan persekutuan dengan peruntukan sebanyak RM6.12 juta dan dilaksanakan melalui perundingan Osborne & Chappel Sdn.Bhd,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian itu, satu Pelan Pengurusan AMD dan Rehabilitasi yang terperinci telah dihasilkan.
“Pelan ini merangkumi strategi rawatan dan kawalan air pasif dan aktif serta pemulihan ‘waste rock dumps’ dan kolam lombong. Anggaran kos merawat aliran asid lombong di lombong tembaga Mamut adalah sebanyak RM185,000,000 untuk tempoh selama 10 tahun atau RM18.5 juta setahun,” katanya.
ikut berdiskusi pada "KEMENTERIAN PELANCONGAN KEBUDAYAAN MOHON PERUNTUKAN 200 JUTA "
Posting Komentar
Bagaimana pendapat anda tentang cara bisnis online dengan modal kecil sebagai penghasilan sampingan, kawan?